6.07.2008

FIRMA ANJUR ACARA DI SINGAPURA DAN M'SIA

SINGAPURA - Apabila pelanggan mereka hendak membuat sesuatu acara di Malaysia ataupun Singapura, firma pengurusan acara, All Abt Events (AAEvents), akan dapat memberikan nasihat bagi acara-acara yang diadakan di kedua-dua negara itu.
Ini kerana gandingan Cik Marinna Masjudi, seorang warga Singapura, dan rakan kongsi niaganya, Cik Kerry Yeung, seorang warga Malaysia, memudahkan pelanggan mereka yang ingin menembusi pasaran Singapura dan Malaysia.
Kedua-dua rakan itu telah berganding bahu untuk membentuk firma tersebut sejak Oktober tahun lalu setelah melihat potensi pasaran yang besar dalam bidang pengurusan acara.
Cik Marinna, 35 tahun, sendiri sudah mempunyai pengalaman tujuh tahun dalam bidang pengurusan acara, dengan pekerjaannya yang terakhir merupakan eksekutif dalam syarikat penganjur seminar terbesar Asia, Success Resources.
'Selepas bekerja makan gaji, saya membuat kerja-kerja pengurusan acara secara sambilan di Malaysia dan mendapati banyak program yang dianjurkan di sana.
'Saya katakan kepada diri saya, mengapa tidak membuka perniagaan saya sendiri?
' Saya usulkan idea ini kepada rakan saya, Kerry, yang sudah lebih lima tahun saya kenali dan beliau juga bersetuju,' kata Cik Marinna, yang membuka AAEvents Sdn Bhd terlebih dahulu di Malaysia (di Sri Hartamas, Kuala Lumpur) sebelum membuka cawangan di Singapura, AAEvents Pte Ltd, yang terletak di Maxwell Road.
Menurut Cik Yeung, 39 tahun, latar belakang negara mereka yang berbeza membuat mereka dapat memberikan nasihat berguna kepada pelanggan mereka.
Beliau memberikan contoh bagaimana AAEvents memberikan nasihat kepada seorang penceramah yang merupakan warga British, Cik Shirley Taylor, yang ingin memasarkan program pentadbirannya di Malaysia dan Singapura semasa Minggu Setiausaha.
'Jika di Singapura, acara Minggu Setiausaha boleh diisi dengan ceramah, tetapi tidak di Malaysia, di mana para setiausaha lebih suka acara berunsur hiburan,' kata Cik Yeung.
Dalam menyediakan khidmat menyeluruh dalam penganjuran acara, AAEvents juga dapat membantu syarikat mencarikan penceramah, menguruskan logistik, membuat rekaan pemasaran dan mengadakan sidang media untuk acara tersebut.
Dari segi industri, mereka pernah menguruskan acara dalam bidang kesihatan, perbankan, sumber manusia (HR), minyak dan gas.
Hujung bulan ini, mereka akan menganjurkan satu acara, seminar hipnosis, yang menampilkan pakar hipnosis terkenal Afrika Selatan, Encik Terry Winchester, di Singapura dan juga Malaysia.

Tidak ada komentar: